Tuesday, April 14, 2009

KAUM SULUK : SEBAGAI PERIBUMI SABAH

KAUM SULUK : SEBAGAI PERIBUMI SABAH

ISU MELAYU & SEJARAH MIGRASI BORNEO

Asreemoro


BAB 1: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PENDAHULUAN SEBAGAI PEMBUKA

Keamanan di bumi Sabah pada hari ini masih dikecapi oleh rakyat secara berterusan dan ia diharapkan dapat berkekalan pada bila-bila masa dibawah Persekutuan Malaysia. Semestinya keamanan seperti ini akan senantiasa dipertahankan oleh manusia atau kaum-kaum yang menghuni Sabah pada hari ini. Keamanan akan dapat dikekalkan bergantung sejauh mana kaum-kaum di Sabah dapat memahami kedudukan mereka masing-masing yang saling hormat-menghormati sesama mereka sebagai rakyat yang terdiri dari berbilang kaum. Keamanan adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan.

Keamanan itu pula akan mudah goyah dan pada bila-bila masa boleh digoncang sekiranya tidak ditunjangi oleh pemahaman sejarah secara jujur. Tanpa mengetahui sejarah kewujudannya, sesuatu bangsa atau kaum itu akan mudah hilang di muka bumi ini. Kerana ketiadaan rujukan sebagai akar tunjang yang menunjangi identiti dan jatidiri mereka sebagai yang mesti dipertahankan. Samada mereka hilang begitu sahaja sebagai pupus di muka bumi atau pun hilang dalam erti kata kehilangan identiti dan jatidiri.

Tiada bezanya satu kaum yang pupus menjadi fosil dengan kaum yang masih wujud tetapi telah kehilangan identiti dan jatidiri. Ia akan menjadi seolah-olah seperti seekor harimau yang kehilangan belangnya lantaran sukar dikelaskan kedudukannya sebagai harimau, samada Harimau Benggala, Tibet, Malaya, Sumatera dan sebagainya. Satu kaum yang kehilangan sejarah bangsanya maka ia sebenarnya telah cacat. Maka “kecacatan” itu mereka bawa turun-temurun, generasi demi generasi sebab itu mereka mudah dibawah arus perubahan yang menghentam dan memperkotak-katikkan mereka.

Mana-mana kaum pun di dalam dunia, mereka ada sejarahnya masing-masing dari mana keturunan bangsa mereka bermula. Sejarahnya yang kadangkala diungkap dalam tradisi lisan turun-temurun dengan gaya mistik, mitos dan tahyul-animisme sebagai tanda kebanggaan dan kekaguman terhadap sejarah bangsa mereka. Begitu juga dengan kewujudan kaum Tausug yang kita kenali sabagai kaum Suluk di bumi Sabah hari ini. Identiti mereka bertahan dengan propaganda kepahlawanan dalam tradisi lisan mereka turun-temurun sebagai satu bangsa yang berani, cekal, keras, pantang dicabar, tidak mengaku kalah.

Sekadar menjadikannya contoh, sebagai renungan yang merujuk kepada satu bangsa beridentiti berdasarkan keberanian yang diperturunkan secara tradisi lisan. Tradisi kaum Suluk bercerita tentang keberanian bangsanya berperang serta keturunan keluarga mereka yang bermaruah dijadikan satu budaya pemikiran sampai bila-bila. Walaupun cerita keberanian berperang kaum Suluk dianggap tidak lagi relevan dalam suasanan aman di Malaysia hari ini, namun sebagai sejarah tentang kewujudannya yang bermaruah perlulah dihormati. Selagi ia masih tetap terkawal yang tidak menjadi punca pemecah belah keharmonian masyarakat, maka sudah tentulah ia diterima sekadar sebahagian budaya kaum yang unik dan tersendiri.

BAB 2: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

KEBERANIAN YANG MENJADI IDENTITI

Sehingga hari ini para sarjana barat masih berterusan mengkaji keberanian kaum Suluk yang mereka anggap bukan sekadar semata-mata tradisi lisan tetapi satu kenyataan tentang kewujudan satu bangsa pejuang yang masih berjuang hingga ke hari ini. Kebanyakan sarjana barat ketika menulis tentang budaya kaum Suluk dan sejarahnya, tanpa mengira mereka musuh atau sahabat kepada kaum ini, tidak dapat lari dari kenyataan bahawa “kaum Suluk adalah pahlawan yang tiada tandingan di dunia”. Sesetengah mereka menceritakan sejarah keberanian kaum Suluk lebih fanatik dari kaum Suluk sendiri.

Robert A. Fulton bercerita di bukunya MOROLAND 1899 – 1906: America’s First Attempt to Transform an Islamic Society:

“Pada tahun 1960-an, semasa saya menunggu penerbangan keluar dari Zamboaanga, saya didekati oleh seorang tua Moro (Muslim), paras wajahnya menakutkan, dia segera menceritakan masanya menentang orang Jepun pada Perang Dunia kedua, tanpa menunggu pertanyaan saya, dia mengangkat kemejanya dan menarik seluarnya ke paras lutut menunjukkan puluhan bekas terkena peluru yang dia alami, saya terpegun di atas itu, dia menceritakan dengan Bahasa Enggerisnya yang kasar “Awak tahu, kamilah orangnya hinggakan tentera kamu mencipta pistol .45 automatik”.

Beliau menambah lagi : Adakah ini benar?...pengalaman orang Amerika memerangi Moro (Muslim Tausug) ialah motivasi utama “penciptaan” senjata, atau kesimpulanya “penambahan”[senjata itu]. Keterangnya dari 1911 hingga ke 1985, Colt Model 1911, .45 caliber automatic pistol menjadi senjata rasmi tentera Amerika yang paling luas penggunaanya dan yang paling laris di sejarah ketenteraan Amerika. Tetapi adakah ia berjaya “menghalang” perjuangan Moro (Muslim)? Tidak…”

Seperti pembunuhan di Bud Bagsak (Gunung Bagsak) Sulu pada June 11, 1913 oleh tentera Amerika yang di arah oleh General John Pershing. Beliau menghantar surat pada isterinya mengatakan: "Perlawanan inilah yang paling menakutkan dan kejam yang pertama kali saya saksikan. Orang Moro (Yang dimaksudkan ialah Tausug Sulu) melawan seperti syaitan. Mereka memang sepenuhnya tiada ketakutan dan apabila sudah berazam untuk melawan, mereka terima kematian itu cuma sebagai satu peristiwa biasa.”

Dalam Press Release, 1,000 Tausug warriors who fought and died at Bud Dajo Battle pada March 8, 2006, Senator Aquilino Nene Q. Pimentel, Jr. berkata: “Pahlawan-pahlawan Tausug dan ahli keluarga mereka yang menentang pencerobohan asing di Perang Gunung Dahu (Bud Dahu [Battle of Bud Dahu]) patut di iktiraf kerana keberanian dan keperwiraan mereka. Jarang kita temui di dalam sejarah, keberanian seperti yang di tunjukan oleh Tausug di Bud Dahu. Keberanian dan pengorbanan mereka mempertahankan Bud Dahu boleh di bandingkan dengan lagenda kemenangan penganut Yahudi (Jewish) menentang penjajah Roman di tahun 72 A.D, zaman Kristian di puncak kubu bernama Masada. Semangat Tausug tidak takut akan mati (never-say-die spirit) di Bud Dahu di contohi oleh juruterbang Kamikaze Jepun yang melanggar kapal perang Amerika di perang Okinawa hingga ke penghujung Perang Dunia Kedua di Pacific. Bud Dahu berdiri megah di dalam rekod keberanian pahlawan-pahlawan dan orang-orang yang melawan demi kemerdekaan negara mereka dan ia yakni berada di tahap Masada dan tinggi dari Okinawa dan Saipan”.

BAB 3: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

KAUM SULUK DARI RUMPUN BANGSA MELAYU?

Satu catatan dari Empayar China telah mengatakan bahawa kaum Tausug ini adalah rumpun bangsa Melayu yang dipetik dari buku Cesar Adib Majul Muslim In The Philipines: “Penduduk Sulu tergolong ke dalam rumpun bangsa Melayu. Mereka adalah pejuang-pejuang yang baik, berani dan ganas. Apabila Spanyol menakluki Luzon, ia cuba sedaya upaya untuk menjadikan Sulu sebagai wilayah naungannya; tetapi Sulu enggan menerimanya. Sungguhpun pihak Spanyol menghantar serdadu untuk menaklukinya namun mereka itu dapat dikalahkan (Oleh kaum Suluk)”.

Hari ini, nama kaum Suluk terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sebagai pahlawan Melayu yang tiada tandingan di bumi Sabah. Satu kenyataan yang tiada siapa pun boleh menyangkalnya. Di antara pahlawan Suluk Sabah yang dikenang hingga ke hari ini ialah:

  • · Pahlawan Suluk bernama Panglima Ilidji datang ke Brunei berperang membantu Sultan Brunei menamatkan perang saudara 10 tahun lantaran Borneo Utara (Sabah) dihadiahkan kepada Sultan Sulu pada 1675 M.
  • · Pahlawan Datu Teteng @ Tating berjaya memusnahkan kubu British di Pulau Balembangan (berdekatan Kudat) pada 1775 M.
  • · Pahlawan Datu Paduka Mat Salleh melawan tentera Kompani British menyebabkan kerugian besar yang tidak munasabah kepada kompani pada 1898 M.
  • · Pahlawan Syarif Osman menentang kompani British hinggakan beliau dituduh sebagai lanun atau perompak laut kerana penentangannya. Beliau sezaman dengan Datu Paduka Mat Salleh.
  • · Pahlawan Datu Mustafa yang berjaya mengetuai gerila Borneo Utara menentang tentera Jepun ketika Perang Dunia ke-II. Bersamanya kaum Bajau, Iranun, Momogun menentang tentera Jepun hingga kalah pada 1947. Datu (Tun) Mustafa dengan berani menukar nama Borneo Utara kepada Sabah dan mengetuai kemasukan Sabah ke persekutuan Malaysia pada 1963.

Ramai yang bertanya benarkah kaum Suluk adalah dari kaum Melayu? Kalau Melayu bagaimana pula kaum-kaum Sabah yang lain? Bagaimanakah pengistilahan Melayu ini bermula? Rasanya satu penjelasan perlu tentang hal ini sebagai pemahaman agar kekeliruan tentang pengistilahan Melayu ini dapat diperbetulkan. Sebenarnya semua penduduk Nusantara ini adalah dikatakan serumpun dalam rumpun Melayu.

BAB 4: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PENGISTILAHAN MELAYU YANG PERLU DIFAHAMI

Mengapa dikatakan kaum-kaum Nusantara termasuk dalam rumpun Melayu? Mengapa kaum Melayu Semenanjung Malaysia menggelarkan diri mereka dengan Melayu? Penggelaran Melayu kepada sesetengah etnik di Nusantara dengan mengatakan mereka adalah Melayu hanya kerana dalam surat beranak mereka tertera nama Bangsa: Melayu maka mereka sahaja yang berketurunan Melayu? Apakah istilah Melayu itu adalah etnik-entik tertentu atau ia sebenarnya adalah gelaran serumpun manusia yang menghuni Alam Nusantara ini? Kalau kita katakan bahawa hanya setiap orang yang berada di bumi Malaysia ini yang bertutur dengan bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam budaya Melayu serta hanya yang beragama Islam maka itu sahaja yang dipanggil Melayu? Kenyataannya, di sini terdapat kepincangan pemahaman yang perlu diperbetulkan.

Siapa yang boleh mendakwa diri mereka sahaja yang Melayu sedangkan yang lain bukan ternyata semuanya hanya persepsi atau interpretasi kekelompakan atau kekampungan sahaja yang hanya dipandu oleh rasa ego dan kesombongan kaum. Satu persoalan, dari mana asal istilah Melayu ini? Soalan ini sehingga sekarang masih tiada jawapan tuntas dari ahli sejarah untuk menjadi kata putus sebenar kepada apa sebenarnya yang dikatakan Melayu itu. Semuanya hanya hipotesis yang mana masing-masing para pengkaji berusaha menyatakan kajiannya adalah yang paling tepat dan benar. Sebenarnya Melayu hanyalah satu istilah dan penggelaran semata-mata kepada satu kaum di Nusantara.

Walaubagaimana pun, kaum Melayu yang asal adalah yang paling berhak terhadap gelaran ini. Mereka berhak atas istilah yang telah menjadi simbol sejarah Asia Tenggara kerana keagungan dan keperkasaan yang mengharumkan penghuni Nusantara sampai bila-bila. Siapakah yang dikatakan kaum Melayu asal itu?

Ianya berasal dari satu kaum yang menduduki Jambi, Sumatera yang menamakan kaum mereka sebagai Melayu. Lokasinya yang menonjol dan strategik menjadikannya begitu terkenal kerana menjadi persinggahan perdagangan di seluruh rantau Asia. Perkembangan awal Islam kemudiannya menjadikan negerinya pusat pendidikan Islam ketika itu malah bahasanya (Bahasa Melayu) juga digunakan sebagai bahasa perantara dalam pengajaran Ilmu. Nama dan bahasa kaum ini tersebar merata tempat setelah para penuntut yang datang dari merata tempat kembali ke negeri asal mereka. Sebab itu kitab-kitab lama atau kitab kuning ditulis dalam bahasa Melayu. Yang maksudkan itulah kaum Melayu Jambi dari Sumatera.

Ketika penjajah datang menghujani Nusantara mencari rempah mereka langsung tersua dengan satu kaum yang namanya sudah sekian lama terkenal dibawa para pedagang merata tempat, lalu mereka mencatat kehebatan kaum Melayu yang mendominasi Alam Nusantara sebagai kaum yang dominan yang perlu diberi perhatian. Sebab itu para penjajah mencatat serta mengkelaskan penghuni rantau Nusantara ini sebagai Melayu, dinisbahkan kepada keluasan pengaruh Melayu Jambi dan Palembang.

Dalam hal ini Hugh Low (1988) sendiri mempercayai hakikat tentang pengistilahan Melayu itu berdasarkan keagungan kerajaan Melayu Jambi di Sumatera:

" …it being rarely the custom of the natives [peribumi Tanah Melayu] to apply a distinguishing name to the whole as, and collectively, but to designate each part by the name of the most powerful kingdom situated in it".

Sejak itu dikajilah dari mana asal-usul manusia Melayu. Hasilnya apa yang kita dapat baca dalam buku-buku sejarah-linguistik hari ini. Namun, pengkajian terhadap istilah Melayu itu sendiri masih berterusan.

Berikut ialah fakta yang penulis susun berdasarkan kajian dan apa yang diberi oleh ahli sejarah tentang asal-usul Melayu dan bahasanya secara ringkas:

  • · Lantaran Nusantara mempunyai pusat perdagangan purba bermula dari negeri-negeri yang menuturkan bahasa Melayu seperti yang dituturkan oleh kaum Melayu Jambi, maka penggelaran Melayu kepada kaum-kaum Nusantara tersebar meluas hinggakan pencatat sejarah barat sendiri membuat kesimpulan demikian. Pengistilahan Melayu kepada rumpun Nusantara yang dimulakan oleh pengkaji barat ini akhirnya digunakan hingga ke hari ini.
  • · Melayu-Proto adalah kumpulan pertama dipercayai sampai ke Nusantara berasal daripada golongan Austronesia dari Yunan, Indochina.
  • · Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi) adalah keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
  • · Melayu-Deutro pula adalah kumpulan kedua yang datang ke Nusantara. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Keturunannya orang Melayu di Malaysia. Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto. Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto. Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
  • · Kumpulan pertama Proto dan kedua Deutro, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.
  • · Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim seorang pakar bahasa (Linguistik) menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China.
  • · Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut (Bajau).
  • · Gelaran Melayu (Mlayu) berasal dari bahasa Jawa kuno bermaksud melarikan diri, berpergian atau mengembara. Kaum yang mula-mula digelar Melayu ialah kaum yang menduduki Jambi berdekatan Palembang, Sumatera hinggakan sebuah sungai di Jambi digelar Sungai Melayu. Pada 600 M muncul satu kerajaan awal Melayu di Jambi yang menjadi tumpuan dan persinggahan pedagang dari India ke China.
  • · Berdasarkan catatan Kerajaan Kayangan China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja China sekitar 644 - 645 Masihi. Yang dimaksudkan ialah kerajaan Melayu Jambi.
  • · Satu lagi catatan dari China ialah catatan seorang pengembara yang juga rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata Ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi yang sudah tentu ialah Jambi dan Palembang.
  • · Oleh kerana Jambi dan Palembang di Sumatera menjadi pusat perdagangan utama di rantau Nusantara ketika itu maka adalah tidak menghairankan para pedagang dari Solot turut berdagang di sana. Solot adalah gelaran oleh kaum Melayu Jambi-Palembang, Srivijaya dan Majapahit kepada kepulauan Sulu. Sehingga hari ini bahasa kaum Tausug dari Sulu terdapat istilah “Malayu”. “Malayu” bermaksud satu tempat atau jarak perjalanan yang sangat jauh, pendek kata mengembara jauh (ada persamaan makna dengan Mlayu dalam bahasa Jawa). Pedagang Sulu tentunya senantiasa berulang alik ke Jambi-Palembang yang mempunyai jarak perjalanan yang bukannya dekat.

Demikianlah bagaimana pengistilahan Melayu itu diguna sebagai mewakili rumpun Nusantara. Dalam hal ini nampaknya para pengkaji barat begitu mudah mengkelaskan siapa sahaja sesuka hati mereka yang akhirnya diguna dan diakui dunia hingga hari ini. Penggelaran sesuka hati seperti ini juga berlaku kepada kaum-kaum yang beragama Islam di Filipina Selatan. Penggelaran Moro contohnya, bermula dari pengalaman lampau Spanyol sendiri menghadapi peperangan dengan kaum Muslimin di Spanyol dan permusuhan mereka dengan kaum Mauricenia yang berasal dari Tanah Maghribi (Morocco) itu terbawa-bawa hingga ke Nusantara.

Akhirnya telah menjadi punca kepada penggelaran Moro kepada umat Islam di Filipina Selatan itu sendiri. Pro dan kontra terhadap pengistilahan ini masih kedapatan dikalangan kaum Nusantara hingga kini. Yang keliru juga tidak kurang hebatnya terhadap pengistilahan berbangkit. Contoh sekiranya ditanya kepada kaum Momogun di Sabah adakah mereka dari kaum Melayu, tentu mereka tidak mengaku tetapi ada sebilangan yang mengakuinya. Demikian juga sekiranya ditanya kepada kaum Suluk samada mereka adalah dari kaum Moro, jawapan pun adalah sama. Yang lain mengaku sebilangan lagi tidak.

Sebenarnya membuang masa sahaja meperdebatkan hal istilah ini. Apa yang lebih penting ialah umat Nusantara berdiri atas kehebatan sejarah masing-masing dan berbangga dengannya. Keagungan peradaban mahupun kemajuan ekonomi yang didominasi oleh negeri-negeri Melayu ketika dulu telah menjadi sebahagian dari sejarah bersama nenek moyang setiap kaum di Nusantara. Penggelaran Melayu juga kepada rumpun Nusantara perlulah diterima sebagai satu identiti bersama. Walaupun boleh sahaja dianggap “nasib baik” kepada kaum Melayu Jambi yang menyebabkan nama kaumnya menjadi popular lantaran rumpun Nusantara hari ini mendapat gelaran Melayu-Austronesia namun penerimaan semua kaum hari ini menunjukkan pengiktirafan terhadap nama Melayu itu sendiri.

Sekiranya kaum Suluk yang mendominasi perdagangan ketika dulu, pasti nama rumpun Nusantara hari ini ialah Suluk-Austronesia. Kalau kaum Jawa pula sudah tentu nama rumpun kita sekarang ialah Jawa-Austronesia. Kalau Bugis pula tentu jadi Bugis-Austronesia, Momogun-Austronesia, Bajau-Austronesia dan macam-macam lagi. Ia hanya istilah kepada satu kaum yang menjadi terkenal seperti terkenalnya kaum Iranun dan kaum Bajau Balangingi merompak di sekitar Laut Nusantara ketika dulu.

Hinggakan sampai hari ini sesiapa sahaja yang menjadi perompak laut kita gelar Lanun (Iranun). Kalau di Indonesia pula perompak laut digelar Bajak Laut (Bajau Laut Balangingi). Begitu juga kalau sesiapa yang menjadi kuat dan hebat akan digelar pula “bermaharajalela” sempena nama pahlawan Maharaja Lela yang membunuh J.W.W. Birch di Pasir Salak, Perak ketika dulu.

BAB 5: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

SIAPA PENGHUNI AWAL BERNEO UTARA?

Kalau ditanyakan kepada kaum Kadazan-Dusun, Tambonuwo, Lotud, Murut, Sungei, Idahan, Bajau Kota Belud/Semporna, Suluk, Brunei, Iranun dan kaum-kaum lain bahawa siapa yang dikatakan kaum peribumi atau bumiputera? Tentu mereka menjawap “kami”. Apakah benar mereka yang mengaku sebagai peribumi Sabah ini adalah peribumi dalam erti kata yang sebenarnya? Sebahagian dari mereka mengatakan bahawa sebelum Sabah merdeka lagi mereka telah ada di bumi Sabah malah sebelum kedatangan kaum-kaum “pendatang” asing yang lain mereka telah pun lama wujud bercucuk tanam, berburu dan sebagainya di pedalaman Sabah?

Sebab itu mengapa wujudnya cerita lagenda bahawa asal-usul permulaan Gunung Kinabalu itu sendiri adalah permulaan kepada bangsa mereka. Maka inilah tanda bahawa merekalah penghuni asal “Negeri Di Bawah Bayu” itu. Walaupun segala bukti yang mereka berikan hanyalah berupa tradisi lisan yang sarat dengan mitos dan tahyul sebagai pembuktian terhadap “keperibumian” mereka, namun ianya tidaklah dapat memberikan apa-apa makna yang boleh diiktiraf. Walaubagaimana pun, itu adalah hak mereka terhadap pengamalan budaya dan adat resam yang menjadikan mitos dan lagenda sebagai sebahagian dari sejarah kaum mereka.

Mari kita lihat sejarah di mana kita bermula agar dengan demikian dapatlah kita menilai kebenarannya. Kerana, sejarah tidak mungkin mendustai kita yang sudah tentu segala mitos dan tahyul tersebut telah pun terpahat dengan baik sebagai identiti sebahagian kaum di bumi Sabah. Semuanya telah pun termasuk dalam lipatan sejarah maka segala tradisi lisan itu tidak sewajarnyalah kita persalahkan. Tradisi lisan itu sendiri telah menjadi satu sejarah kepada kaumnya sejak sekian lama. Tinggal lagi, samada logik dengan tidak sahaja yang menjadi persoalan. Terima atau tidak bergantung kepada kewarasan individu yang menilainya. Walaubagaimana pun halnya, pertimbangan logik tetap mendominasi perjalanan sejarah hidup manusia selama beribu-ribu tahun lamanya sejak dahulu kala.

Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, m.s. 1185, peribumi bermaksud kaum asli atau bumiputera. Dengan kata lain, satu kaum yang terawal datang dan tinggal disesuatu kawasan, mendirikan penempatan dan menguasai persekitarannya. Persoalannya, siapakah yang benar-benar dikatakan “peribumi” Sabah? Kemudian, siapa pula yang terawal dikalangan yang awal di antara kaum-kaum Sabah yang kita sebutkan tadi? Sebenarnya belum ada ahli sejarah yang dapat menentukan kaum mana yang lebih awal datang dan membuat penempatan di Sabah.

Yang ada ialah kewujudan lebih awal kaum Dayak Sarawak (Punan, Penan, Kayan, Kenyah, Iban, Dayak Darat, Murut) di Borneo yang mana ahli sejarah sepakat mengatakan mereka adalah kelompok Melayu-Proto yang datang ke Nusantara semenjak 2500 tahun sebelum Masihi lagi. Itu pun mereka hanya tertumpu di Kalimantan dan hanya bertebaran ke merata tempat di Borneo termasuk lari masuk ke tengah-tengah hutan belantara setelah berlakunya ekspedisi mencari hamba dikalangan kaum Iranun dan Bajau Balangingi dari Sulu.

Menurut seorang Pensyarah Program Sejarah, SSS, UMS, En. Bilcher Bala dalam kertas kerjanyan bertajuk Latar Belakang Penduduk Di Sabah & Sarawak, bahawa, adalah tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan penduduk peribumi asli yang mula sekali menghuni pulau Borneo amnya (khususnya Borneo Utara). Nenek moyang peribumi asli di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Kemudian penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan daripada kemunculan kumpulan pendatang baru (dari kalangan penjajah) sejak lebih kurang abad ke-15.

Justeru, wujud tanggapan bahawa ciri-ciri kemasyarakatan primitif yang masih wujud di kawasan pedalaman Borneo adalah ekoran daripada ketiadaan hubungan mereka dengan orang luar. Sungguhpun demikian, hakikat keadaan taburan penduduk di Borneo pada hari ini menafikan tanggapan sebegitu. Misalnya, proses migrasi yang telah berlaku sejak beberapa zaman yang lampau telah menjadikan negeri Sabah sebuah masyarakat yang berbilang keturunan, budaya, adat dan kepercayaan.

Dalam bukunya bertajuk Borneo People, Malcolm MacDonald (1985) telah mengutarakan satu rumusan yang jelas sekali mengenai penduduk peribumi asli Borneo dalam beberapa dekad yang lalu, khususnya yang telah ditemuinya di wilayah Sarawak, bahawa:

“…natives in the deep jungle are 'uncivilized' pagans. They associate together in primitive tribal organization and are divided among distinct ethnological groups called Punans, Penans, Kayans, Kenyahs, Ibans, Land Dayaks, Muruts, and various others. They are the real wild men of Borneo.

Yang menariknya En. Bilcher Bala mengatakan lagi “…menurut andaian setakat ini menyebut bahawa masyarakat manusia di Sabah pada awalnya adalah terdiri daripada beberapa suku etnik peribumi asli yang kemudiannya telah berubah menjadi sebuah masyarakat majmuk terutamanya ekoran daripada proses migrasi yang mula berlaku seawal-awalnya pada kurun masihi yang ke-10 lagi daripada Tanah Besar China, India, Kepulauan Philipina dan Sulu, Kepulauan Cocos dan Maluku, Indonesia dan lain-lain”.

Ternyata berdasarkan kajian En. Bilcher Bala di atas, proses migrasi antara kaum-kaum dari luar Borneo yang berlaku seawal-awalnya kurun ke-10 dapat membuktikan satu kebenaran yang akan menyusul selepas ini. Kerana berdasarkan kajian yang kami telah jalankan, migrasi telah berlaku secara drastik setelah perluasan pengaruh dan penaklukan oleh Srivijaya dan Majapahit serta terbukanya laluan perdagangan di Alam Melayu yang bermula di kerajaan Melayu Jambi dan Palembang. Pedagang dari India dan Arab pada awal kurun ke-7 hingga kurun ke-9 menjadikan Jambi dan Palembang sebagai persinggahan utama di Nusantara sebelum meneruskan perjalanan ke Champa, Vietnam seterusnya ke China.

Ketika ini Brunei, Johor, Bugis, Banjar, Tidung, Ternate-Maluku, Maguindanao dan Sulu telah pun menjadi satu kerajaan yang sudah tentu aktiviti perdagangan mereka dengan Jambi telah pun berlaku ketika itu. Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah jual beli hamba adalah antara yang termasuk dalam kativiti perdagangan. Perhambaan pada ketika itu sangat popular dan dimasa-masa kemudiannya telah menjadi punca kepada taburan atau migrasi kaum di seluruh Nusantara.

BAB 6: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PUNCA KEPADA MIGRASI BORNEO

Apa yang perlu diperjelaskan ialah mengapa migrasi dikatakan telah mula berlaku ke atas Borneo Utara seawal kurun ke-10? Sebenarnya migrasi yang paling drastik sekali ialah berlaku pada kurun ke-13 di zaman pra-Islam Raja-raja Brunei dan Raja-raja Sulu dan berkesinambungan lagi hingga kurun ke-19 di era Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu (setelah kemasukan Islam). Kekuasaan jajahan Kesultanan Brunei yang terbentang luas bermula dari Sarawak hingga ke Manila (Amanillah) setelah kejatuhan empayar Majapahit di tanah Jawa adalah yang sangat berkuasa ketika itu.

Sedangkan Kesultanan Sulu pula menjadikan sebahagian kepulauan Visaya, Cebu, Layte, Butuan, Palawan dan lain-lain sebagai naungan pemerintahannya yang berpusat di Jolo, Sulu. Ketika itu kedua-dua kesultanan adalah yang amat digeruni. Kemunculan Kesultanan Maguindanao juga menambahkan lagi kekuatan kuasa-kuasa Muslim ketika itu. Walaubagaimana pun berbanding Brunei, Sulu tidak pernah dikuasai oleh Srivijaya dan Majapahit sekalipun Sulu itu hanyalah sebuah pulau kecil.

Ini diakui sendiri oleh para sarjana barat. Erick A. San Juan menyatakan dalam tulisannya Conspiracies and Controversies bahawa, “Walaupun orang Indonesia (Srivijaya dan Majapahit) lengkap dengan pelbagai alat perang dan kepandaian mereka, tetapi tidak pernah terfikir menghancurkan Tausug ke arah apa-apa peperangan yang tidak munasabah, hinggakan mereka (Tausug) dicatit oleh orang Arab sebagai pejuang Muslim terbaik di dunia”.

Penggalak utama migrasi tentunya bermula dari aktiviti-aktiviti perang dari kaum Sulu yang berani. Sulu itu adalah terdiri dari kepulauan kecil tetapi telah mampu menguasai persekitarannya kerana mempunyai budaya yang suka berperang. Pada asalnya mereka adalah kaum pedagang yang mahir dalam pelayaran tetapi setelah orang asing dari Eropah datang dan mahu menakluk dengan kerap menyerangnya, lama kelamaan mereka berubah menjadi bangsa kejam yang suka berperang. Pujian dan sindiran kepada keberanian berperang kaum Tausug adalah biasa dikalangan sarjana barat contohnya seperti yang dikatakan oleh En. James Dunnigan dalam artikelnya Tropical Vikings pada 17 Mac 2003 bahawa:

“Orang Tausug adalah seperti orang Viking, mereka pahlawan yang ganas, tiba-tiba muncul dari laut tanpa diduga dengan kapal layar mereka yang pantas…mereka empunya versi Viking yang tersendiri, seperti juramentado (berani mati)…antara kaum Moro (Muslimin) yang paling bengis dan kejam ialah Tausug.”

Orang Tausug Sulu yang mendominasi kepulauan Sulu sejak dulu sangat terkenal dengan peperangan dan perhambaan. Sebab itu dalam hal ini, faktor utama migrasi kaum-kaum di Borneo terutamanya Borneo Utara adalah berpunca dari orang-orang Sulu sendiri. Perkara ini lebih jelas lagi setelah kedatangan Spanyol pada abad ke-16 dengan menggelarkan orang-orang Sulu sebagai “Vegamundo” (Mundo) yang bermaksud perompak laut setelah gagal membendung serangan demi serangan tentera laut Sulu ke atas tempat-tempat naungan Spanyol di Filipina Utara. Serangan orang Sulu bukan semata-mata membunuh, tetapi menangkap ribuan kaum Ayta (Asli) lalu menjualnya ke Jolo, Borneo, Makassar atau Maluku.

Kita lihat bagaimana Lt. Gabenor yang bertugas di tanah Jawa, Jhon Hunt yang pernah tinggal di Jolo selama enam bulan memberi laporan kepada Sir Stamford Raffles pada tahun 1812 "Kuasa dan pengaruh para Datu (Tausug) khususnya kerana kekayaan masing-masing dan jumlah hamba abdi mereka".

Dalam sejarah penjajahan Spanyol, kaum Tausug dari Sulu telah dianggap sebagai satu-satunya dari kalangan kaum Moro yang paling “jahat” dan khianat. Sebab itu mengapa Spanyol tidak pernah berjaya menakluk Pulau Jolo yang hanya sekecil Pulau Labuan itu. Tentera Laut Diraja Sulu adalah terdiri dari kaum Iranun (Lanen), Bajau Balangingi dan Tidung yang sangat terkenal dengan pembunuhan di darat dan serangan-serangan di laut.

Hinggakan tentera laut Sulu ini digelar “Perompak Laut” atau Lanun (diambil dari nama Iranun atau Lanen) kerana keberanian serta kebiasaan mereka menangkap kaum-kaum Ayta (Dayak yang terdiri dari Hiligaynun, Surigaonun, Kagayanun, Bisaya, Suba’anun dll) di sekitar kepulauan Filipina naungan Spanyol. Mereka dijual ke Makassar atau ke Jolo dan Borneo Utara kepada Datu-datu Sulu serta kepada Pangeran Brunei. Kemarahan dan sumpah seranah barat kepada kaum Tausug masih berterusan hingga ke hari ini berdasarkan kegagalan mereka menakluk di masa lampau ke atas kaum Tausug.

Primo Esleyer penulis Lessons from Kidnapping dalam www.iloiloviews.com, Visayan Daily Star pada June 20, 2008: “Tausug adalah pelayar terbaik, kapal perang Spanyol tidak boleh mengalahkan kapal mereka. Mereka adalah pahlawan-pahlawan tetapi adalah yang paling khianat berbanding kaum Muslimin yang lain…ramai para Jeneral (tentera Filipina) yang terperangkap dan terbunuh.”

Jumaat, 2008 November 21

BAB 7: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

PELANUNAN SEBAGAI PERTAHANAN DAN KESANNYA

Mengapakah kaum Tausug di Sulu telah dikatakan sebagai menjadi punca atau sekurang-kurangnya menjadi pemangkin kepada aktiviti pelanunan dan perhambaan di Nusantara? Sebab itu mengapa berlakunya ekspedisi mencari hamba di merata tempat oleh kaum Iranun, Bajau Balangingi dan Tidung adalah kerana mendapat dokongan dari kaum Tausug. Sememangnya Sultan Sulu dan para Datu adalah yang memerlukan paling ramai hamba untuk bekerja dengan mereka di Borneo Utara atau pun dijual semula kepada Daeng-daeng Makassar.

Aktiviti inilah yang menjadi pendapatan utama kaum Iranun, Bajau Balangingi dan Tidung ketika itu. Yang mengejutkan para ahli sejarah ialah bagaimana Iranun dan Bajau Balangingi boleh sampai ke Burma, Vietnam malah dilaporkan turut sampai ke perairan Australia kerana semata-mata mencari mangsa tangkapan untuk dijual menjadi hamba. Aktiviti pelanunan dari Sulu ini adalah yang paling banyak mendapat perhatian dari para pengkaji sejarah ketimuran daripada Barat bermula sejak dahulu lagi.

James Francis Warren dalam bukunya "The Sulu Zone 1768-1898" (Singapore University Press 1981) menyatakan mereka melanun hingga ke perairan Terengganu dan Kelantan. Sudah tentu menjangkau hingga sampai ke Vietnam atau Indochina dan dari Laut China Selatan masuk ke Selat Melaka dan tembus semula ke perairan Kalimantan terus ke Sulu melalui Makassar. Hasil tangkapan mereka jual ke Makassar di negeri Bugis, Maluku atau di Jolo, Sulu sendiri.

Dalam catatan sejarah pelanunan di Sulu, kaum Tidung dari Kalimantan turut bekerjasama dengan Tausug . Tidung sangat dibenci oleh Spanyol dan menggelarnya Comucones. Kaum ini telah pun mula meneroka perairan Sulu, Sulawesi, Laut China Selatan dan sekitar perairan Kalimantan sebelum kedatangan Spanyol ke Kepulauan Filipina lagi. Kaum Tidung sangat terkenal dengan peneroka sungai sebab itu terkenal sebagai kaum “Penangkap Buaya”. Mereka tergolong dari bangsa Dayak Laut yang mana secara linguistiknya adalah sekeluarga dengan kaum Kayan di Kalimantan. Tidung muncul membentuk kerajaan awal di Kalimantan berhampiran Tarakan pada penghujung zaman Srivijaya.

Dalam An Online Timeline Of Indonesian History menyatakan: “1076: Around this time, the Tidung kingdom is founded around Tarakan in eastern Kalimantan”.

Ketika ini Raja-raja Sulu pra-Islam sudah lama muncul mendominasi Laut Sulu, catatan sejarah menunjukkan sejak abad ke-7 sudah memang wujud kerjasama Orang Laut dengan kaum Sulu di Taguimaha (Nama lama Pulau Basilan) sebagai penguasa Laut Sulu. Setelah kedatangan Islam, Sulu telah dilaporkan mempunyai hubungan erat dengan Raja-raja Tidung di Kalimantan. Setelah Kesultanan Sulu melakukan pemungutan cukai di Borneo Utara, Tidung enggan mengiktiraf ketuanan Sultan Sulu maka berlaku banyak pertempuran antara mereka. Tidung telah tunduk setelah Sultan Sulu mengahwini puteri Raja Tidung.

Cesar Adib Majul mengatakan dalam Muslim In The Philipines: "Tirun (Tidung), suatu suku kaum yang bukan beragama Islam yang terkenal kerana kekejaman dan ekspedisi mencari hamba. Mereka yang semula jadi memang bebas dan berada di bawah kekuasaan pembesar-pembesar mereka, adakalanya tidak mahu tunduk kepada datu-datu dan panglima yang telah dilantik dari kalangan mereka sendiri oleh Sultan Sulu".

Didalam banyak pertempuran kaum Sulu dengan Spanyol, Tidung termasuk bala tentera Sulu yang paling ganas selain Balangingi dan Iranun. Sekiranya peperangan terhenti mereka berkeliaran di lautan kepulauan Filipina dalam kawasan naungan Spanyol sebagai perompak dan pencari hamba. Perkampungan jajahan Spanyol mereka serang dan tangkap penduduknya lalu dijual ke Sulu, Borneo atau ke tanah Bugis dan Maluku. Spanyol sangat berdendam dengan kaum Tidung kerana bersekongkol dengan orang-orang Sulu menyerang dan menangkap kaum-kaum Ayta (asli) untuk dijadikan hamba walau pun Sultan Sulu sendiri tidak mengaku menyuruh atau melakukannya.

Spanyol dan Belanda di Indonesia (kerana wilayah naungannya turut diserang oleh perompak laut atau lanun dari Sulu) meletak kesalahan kepada Kesultanan Sulu atas perluasan aktiviti pelanunan kerana kegagalan Sultan mengekangnya. Walaupun mereka persalahkan Sultan Sulu dan para Datu kerana membiarkan pelanunan, namun mereka bersetuju bahawa konsep “tolong sama tolong” antara Kesultanan Sulu dengan para lanun itu adalah semata-mata untuk mengawal perairan Sulu agar tidak dibolosi oleh “pendatang-pendatang asing” dari Eropah itu sekurang-kurangnya cara mereka telah berjaya. Tentunya tanpa pengawalan, kapal-kapal penjajah sangat mudah keluar masuk ke perairan Sulu sewenang-wenangnya dan boleh mengatur apa sahaja tujuan jahat terhadap Sulu.

Serangan-serangan lanun menyebabkan Spanyol di Filipina merayu meminta Sultan Sulu menghentikan pelanunan itu kerana pedagang-pedagang dari wilayah mereka selalu kena rompak, malah kampung-kampung di sekitar kekuasaan Spanyol turut kena serang dan penduduknya diikat beribu orang dijual ke merata tempat hinggakan penduduk di kepulauan Filipina di utara digambarkan sebagai "hampir kering" dibuatnya.

Ini diakui sendiri oleh Jose Rizal dalam artikelnya pada 1889 di surat khabar La Solidaridad yang diterbitkan di Barcelona, Spanyol. Mungkin disebabkan oleh keadaan inilah yang menyebabkan Jose Rizal menulis bukunya yang kedua dan menjadi terkenal setelah itu bertajuk “EL FILIBUSTERISMO” pada 1891 yang membawa maksud pelanunan. James Francis Warren juga turut menulis tentang pelanunan ini dengan tajuk khusus “Iranun and Balangingi: Globalization Maritime Raiding an the Birth of Ethnicity”.


KESANNYA

Kesan dari pelanunan ini yang kita dapat jelaskan ialah seperti yang dinyatakan dalam beberapa bahagian:


  1. Kesan kepada kuasa politik: Penguasaan terhadap maritim adalah antara penyebab utama ketahanan dan kelangsungan kekuasaan Kesultanan Sulu hingga tidak tertakluk berabad lamanya.
  2. Kesan kepada migrasi dan taburan penduduk: Ramai yang tertangkap setelah kalah perang dibawa merata tempat dari pulau ke pulau samada dijual atau dijadikan hamba. Samada yang tertangkap atau yang menangkap turut sama berpindah seperti yang yang berlaku di Borneo Utara. Iranun dan Balangingi membuka penempatan sekitar pantai timur dan barat Sabah hingga hari ini.
  3. Kesan kepada bahasa: Kekalnya gelaran "Lanun" dan "Bajak Laut" hingga hari ini kepada perompak laut


Yang mendapat banyak manfaat jelas terhadap pelanunan ialah Kesultanan Sulu walau pun segala perbuatan perompak laut itu dinafikan oleh Sultan. Ahli sejarah turut bersetuju bahawa kaitan pelanunan dengan Kesultanan Sulu adalah berlaku secara tidak langsung. Cesar Adib Majul menjelaskan hal ini bahawa, segala pelanunan yang dilakukan oleh rakyatnya (Iranun, Balangi dan Tidung) bukanlah suruhannya melainkan tindakan bersendirian mereka sendiri. Sultan mendakwa tidak berkemampuan menghalang mereka melanun dan kalau Spanyol dan Belanda ingin menghentikan pelanunan, merekalah sendiri yang memeranginya. Walau pun para ketua-ketua lanun sering datang memberi hadiah kepada Sultan hasil dari penjualan hamba dan sebagainya tidaklah bermakna Sultan yang menyuruh mereka melanun. Sesetengah kes ia hanya dianggap ghanimah (pembahagian harta rampasan perang). Yang pasti, pelanunan Sulu menjadi antibody kepada Sulu sendiri daripada serangan virus-virus penjajahan.


Tindakan menyerang dan menangkap musuh untuk dijual dijadikan hamba telah menjadi penyebab kepada perpindahan atau migrasi kaum di merata tempat termasuk Borneo. Kadang-kadang orang yang tidak terlibat dengan peperangan pun turut jadi mangsa seperti serangan-serangan terhadap kaum Momogun dimana-mana ketika itu oleh para pencari atau ekspedisi hamba. Dengan sebab ini juga telah mempengaruhi demografi kependudukan seluruh Borneo Utara. Mereka berduyun-duyun lari ke tengah hutan yang jauh dari tepi pantai semata-mata mengelak dari tertangkap untuk dijadikan hamba oleh para perompak laut.

Pengaruhnya terhadap bahasa yang mana wujudnya istilah “Lanun” dalam bahasa Melayu (Malayisa) hari ini. Lanun bermaksud perompak laut yang diambil istilahnya dari nama kaum Iranun itu sendiri. Ini kerana kaum Iranun juga turut memanggil diri mereka Tau Lanen bermaksud orang Lanen. Melayu Indonesia hari ini menggelar prompak laut dengan “Bajak Laut” ia seolah-olah menyebut Bajau Laut pada lidah mereka. Ternyata sebutannya lebih dekat kepada Bajau Balangingi yang menjadi tentera laut Sulu dan bersama-sama dalam ekspedisi mencari hamba dengan Iranun. Bajau Balangingi juga adalah asalnya dari kelompok Orang Laut dari Sumatera atau Bajau Laut yang datang ke Sulu. Persoalannya bagaimana istilah “Lanun” begitu terkenal penggelarannya di Malaysia? Mungkinkah ada perhubungan yang telah terjalin sebelum ini dengan Melayu Semenanjung lantaran Iranun begitu dikenali?

Cesar Adib Majul menyatakan bahawa, perhubungan rapat Kesultanan Sulu dengan kaum Iranun telah pun bermula ketika masa pemerintahan Sultan Qudarat dari Maguindanao iaitu pada awal abad ke-17. Ini kerana saudara perempuan Sultan Sulu ketika itu bernama Puteri Siti Kabira telah dikahwini oleh Sultan Qudarat menyebabkan persaudaraan yang begitu erat kepada kedua-dua Kesultanan. Hingga dikatakan yang menguasai Sulu ketika itu adalah Sultan Qudarat dari Maguindanao oleh sebab itu kaum Iranun yang menjadi rakyat Sultan Qudarat dari Teluk Illana berduyun-duyun datang tinggal di sekitar pantai timur dan pantai barat Borneo Utara dan sekitar Kepulauan Sulu lainnya.

Mengenai pelanunan di perairan Tanah Melayu, James Francis Warren menyatakan hal ini bahawa pada tahun 1836 kapal perang Inggeris di perairan Malaya (Mungkin di Selat Melaka) bernama H.M.S. Wolf berjaya menawan lanun dari Sulu (Iranun dan Balangingi) melaporkan "Orang kaya Kullul memberitahu kami bahawa sultan yang memerintah dia merompak dan menculik segala kaum, kecuali bangsa Eropah".

Cesar menuliskannya pula “Sementara orang-orang Iranun yang bernaung di bawah pemerintahan Sulu sering menyerang kapal-kapal asing dengan sewenang-wenangnya dan Sultan Sululah yang dipersalahkan akibat serangan-serangan mereka. Serangan-serangan orang Iranun ini adakalanya meluas hingga ke selatan Selat Makassar dan ke sebelah utara hingga ke Selat Melaka. Malah Sultan Johor pernah berpakat dengan mereka untuk menggugat kapal-kapal British supaya mengurangkan tekanan mereka ke atas wilayah-wilayah pemerintahan mereka”.

Ternyata kaum-kaum Sulu (Iranun & Balangingi) dikenali dan mempunyai perhubungan dengan kaum Melayu lain di Nusantara iaitu pada setengah-setengah tempat menjadi bukti kehandalan mereka. Telah menjadi satu bukti penyebab kepada terkenalnya nama Iranun (Lanen) di Tanah Melayu Semenangjung dan kepulauan Indonesia yang tentunya telah menjadi penyebab migrasi kaum di Borneo itu sendiri.

KESIMPULAN

Setelah diperjelaskan dengan berdasarkan beberapa fakta seperti yang dibentangkan tadi, telah menunjukkan kepada kita bahawa aktiviti pelanunan adalah yang begitu menonjol sebagai punca kepada migrasi kaum di Borneo Utara atau Sabah tanpa diragukan lagi. Perkara ini bukan lagi rahsia atau pun sebagai yang sukar difahami sebagai punca-punca mengapa terdapat banyak kaum Dayak atau Momogun di Sabah hari ini.

Migrasi itu sendiri kita boleh kategorikan kepada dua keadaan iaitu “Migrasi Sukarela” dan “Migrasi Paksa”. Migrasi sukarela adalah migrasi yang berlaku terhadap kaum Dayak dari Kalimantan yang bertebaran kemerata Borneo secara sukarela. Samada mereka sendiri yang bergerak bertebaran atas dasar mencari tanah penghidupan yang baru atau lari kerana mengelak tertangkap oleh ekspedisi pencari hamba oleh para lanun.

Manakala migrasi paksa pula ialah kaum-kaum yang tertangkap dari mana-mana tempat lalu dijual sebagai hamba abdi. Dijadikan pekerja oleh para Pangeran dan Datu di kebun dan ladang mereka. Sebab itu kaum-kaum Borneo begitu ramai terutama kaum-kaum yang kita anggap kaum asli atau peribumi pada hari ini. Ada yang ditangkap dari Yunnan Indochina, kepulauan Filipina, Kalimantan, Maluku dan banyak tempat lagi.


BAB 8: KAUM SULUK SEBAGAI PERIBUMI SABAH

RUMPUN MELAYU SABAH SATU PENJELASAN

Sebagai pemahaman dan penjelasan, kaum-kaum yang wujud di Sabah ketika ini perlulah dipaparkan sejarahnya secara ringkas. Kaum-kaum tersebut bolehlah kita bahagikan kepada empat bahagian:


1. Kaum Melayu Brunei

2. Kaum Melayu Sulu-Mindanao

3. Kaum Melayu Momogun-Ayta

4. Kaum Melayu Indonesia

Kaum Melayu Brunei

Kaum Melayu Brunei banyak terdapat di sekitar pantai barat Sabah. Mereka mempunyai sejarah yang panjang di Alam Nusantara dengan sistem monarki yang masih wujud di Negara Brunei hingga hari ini. Mengapa mereka berada di Sabah? Kerana Sabah pada ketika dulu adalah dibawah takluk kekuasaan Kesultanan Brunei. Nama Sabah sebelum ini ialah Borneo Utara yang membawa maksud Brunei Utara.


Hal ini diakui oleh sarjana barat sendiri, seperti mana kata L.W. Jones (1966):

"Here (Brunei) lies the key to the island's early history. The whole island was subject to the dominion of the Sultanate of Brunei".


Dalam pada itu, Jones juga menyokong fakta bahawa:

"Borneo and Brunei are basically the same word, and indeed no more than 100 years ago Brunei was referred to as Borneo Proper".


Manakala Inggeris menamakannya North Borneo sedangkan perkataan Borneo itu sendiri lahir dari lidah orang-orang Inggeris yang sukar menyebut Brunei sebab itu mereka memanggilnya demikian. Terbentuk dari dua perkataan ‘Born’ bermaksud lahir dan ‘Neo’ baru. Ia juga boleh dimaknakan sebagai 'satu wilayah yang baru dilahirkan'.


Fakta ringkas mengenai Sejarah Kaum Brunei serta kaitannya dengan Sabah (Borneo Utara):


  • Panggilan Brunei pada asalnya ialah “Berinai” yang ada kaitan dengan pokok inai. Dalam catatan Nagarakrtegama Majapahit, Negara Brunei disebut “Buruneng” atau Burune.
  • Dikatakan kaum Melayu Brunei mempunyai susur-galur China dari Kerajaan Kayangan. Sebab itu warna kulitnya putih kuning seperti yang kita dapat lihat hari ini.
  • Pada 1368 M, Raja Brunei bernama Raja Awang Alak Betatar dikatakan telah melarikan diri ke Johor-Lama kerana negeri Brunei telah diserang oleh kaum Tausug dari Sulu ketika itu. Baginda memeluk agama Islam dan berkahwin dengan puteri Sultan Johor (Johor Lama @ Temasek) sekitar 1368 M. Nama Islam Raja Awang Alak Betatar ialah Sultan Muhammad Shah (Sultan Brunei Pertama 1363-1402). Setelah perkahwinan itu Sultan Brunei tersebut berangkat ke Brunei dari Johor dengan diiringi oleh orang-orang Bajau atas perintah Sultan Johor, setelah dengan bantuan tentera Jawa berjaya menghalau Tausug dari Brunei.
  • Pada tahun 1425 M datang seorang pendakwah Syarif dari Makkah bernama Syarif Ali Barakat menjadi Sultan Brunei yang pertama dari kalangan Ahlul-Bait.
  • Tanah jajahan Kesultanan Brunei sangat luas hingga berjaya menguasai Sarawak sehingga ke Amanillah (Manila).
  • Anakanda Sultan Brunei, Sultan Muhammad Hassan bernama Raja Bongsu (Sultan Mawallil Wasit) ditabalkan menjadi Sultan Sulu pada 1610 M menjadikannya Sultan Sulu yang pertama yang berasal dari kerabat Diraja Brunei.
  • Pada 1675 M Sultan Brunei bernama Sultan Muhyiddin menghadiahkan Borneo Utara kepada Kesultanan Sulu sebagai tanda terima kasih membantunya menamatkan perang saudara 10 tahun.
  • Bermula pada pertengahan abad ke-18 Kesultanan Brunei mula tegang hubungannya dengan Kesultanan Sulu berpunca dari pembunuhan seorang Duta Sulu di Brunei yang menimbulkan kemarahan Sultan Sulu. Semenjak itu acapkali berlaku serang menyerang antara orang Tausug di pantai barat Borneo Utara dengan orang Brunei kerana orang Brunei juga masih mendakwa Borneo Utara adalah tanah nenek moyang mereka.
  • Pada tahun 1877, seorang wakil kompani British bernama Baron Gustave Von Overbeck berjumpa dengan Sultan Brunei untuk memajak Borneo Utara. Setelah perjanjian berjaya dimeterai Baron Gustave Von Overbeck mendapati sebahagian besar Borneo Utara telah dihuni dan dikuasai oleh datu-datu kaum Sulu dari Kesultanan Sulu yang bermula dari Teluk Kimanis sampai ke Pulau Banggi hingga ke Teluk Sibuko Kalimantan.
  • Pada 1878, Overbeck berjaya mendapatkan persetujuan Sultan Sulu untuk memajak Sabah malah turut dilantik Bendahara dan Raja Sandakan oleh Sultan Sulu. Dalam hal ini beliau berjaya mendapatkan konsesi dari kedua-dua kesultanan terhadap pajakan Borneo Utara.
  • Antara 1880 hingga 1900 para Datu Sulu dan para Pangeran Brunei bersatu melawan Kompani Inggeris kerana memprotes penguatkuasaan undang-undang kompani yang tidak munasabah.

Kaum Melayu Sulu-Mindanao

Kaum terbesar dari Sulu selain dari Tausug ialah Sama Bajau, manakala Yakan adalah ketiga terbesar. Manakala kaum dari Mindanao pula ialah kaum Iranun, Maguindanao, Maranao dan beberapa kaum Ayta (Dayak) seperti kaum Bisaya, Suba’anun, Hiligaynun, Kagayanun dan Surigaonun. Majoriti kaum yang berada di Borneo Utara ialah Tausug, Sama Bajau dan Iranun sahaja ketika era Kesultanan Sulu lagi. Malah semenjak dari abad ke-7 hingga ke-9 lagi kaum Sulu dari kalangan Tausug dan Sama Bajau sudah menduduki pantai timur Borneo Utara.


Cuma kekuasaan kaum Tausug terhadap Borneo Utara lebih menyeluruh pada tahun 1700-an kerana para Datu Sulu mula memungut cukai setelah beberapa tahun Borneo Utara dihadiahkan oleh Sultan Brunei. Itu pun setelah Kesultanan Sulu berjaya menumpaskan kaum Tidung yang lebih banyak menguasai perairan Sulawesi ketika itu kerana enggan membayar cukai dan memerangi kaum Tausug. Sebelum menjelaskan tentang kaum Iranun dari Mindanao, terlebih dahulu Sejarah kaum Sulu dan Kesultanannya perlulah diperjelaskan. Kerana perlunya kaum ini difahami kalau pun tidak mendalam sekurang-kurangnya mengetahui sejarah kesultanannya secara ringkas.


Berikut penulis menyusun sejarah kaum-kaum Sulu dan Kesultanannya serta kaitannya terhadap Sabah (Borneo Utara) secara ringkas:


  • Kaum Sulu yang dominan ialah kaum Tausug yang asalnya terdiri dari tiga kaum utama yang menduduki pulau Jolo (sbt Holo) iaitu kaum Buranun, kaum Taguimaha dan kaum Baklaya.
  • Tausug bermaksud orang arus, yang pekerjaan utama mereka ialah berdagang merentas lautan yang juga terkenal dengan budaya perhambaan. Bahasa yang mereka tutur ialah bahasa Sug yang menjadi lingua-franca di Kepulauan Sulu. Catatan sejarah menyatakan pada abad ke-7 kaum Sulu sudah memang berada di kepulauan Sulu sebagai pelaut dan pedagang. Ketika era pemerintahan Srivijaya wilayah kepulauan Sulu dikenali sebagai Solot.
  • Di dalam peta kekuasaan Srivijaya, Solot atau Sulu tidak termasuk sebagai tanah jajahan takluknya. Ada laporan yang menyatakan Srivijaya telah beberapa kali menyerang Sulu tetapi gagal. Sehingga ke zaman kekuasaan Majapahit pun Solot masih gagal dikuasai. Walau pun dalam catatan Nagarakrtegama Majapahit menyatakan Wilayah Solot termasuk dalam naungan kekuasaannya tetapi kenyataannya bukanlah begitu.
  • Juga dilaporkan antara abad ke-7 dan ke-8 kaum Orang Laut atau Bajau Laut (Sama Bajau) sudah berada di Pulau Taguimaha (Dipanggil Pulau Basilan kemudiannya ketika era Kesultanan Sulu sempena nama Datu Bantilan). Ahli sejarah mengatakan bahawa asal-usul kaum Bajau Laut ialah dari Pulau Sumatera yang dekat hubungannya dengan kaum Melayu di sana. Sebab itu gelaran “Orang Laut” adalah dari bahasa Melayu sendiri. Kaum Melayu juga menggelar Berjauh (Bajau) kepada Orang laut kerana senantiasa berjauhan dengan daratan.
  • Orang Laut juga turut dipanggil Sama (sama-sama) kerana senantiasa bergerak berkelompok ke mana sahaja dengan bersama-sama. Satu lagi panggilan yang datang dari bahasa Melayu sendiri ialah Pala’o (Perahu) kepada Orang Laut bermaksud orang yang tinggal dalam perahu.
  • Pada tahun 1450 M, seorang Sayyid dari Tarim atau dari Makkah bernama Sayyid Abu Bakar telah datang mengIslamkan majoriti kaum-kaum Sulu dan membuka banyak madrasah serta masjid. Walau pun sebelum ini pedagang-pedagang Islam telah dahulu sampai ke Sulu tetapi pengIslaman secara besar-besaran kali ini ditangan Sayyid Abu Bakar menjadikan kaum-kaum Sulu lebih awal menerima Islam secara menyeluruh berbanding kawasan-kawasan lain di kepulauan Filipina.
  • Sayyid Abu Bakar ditabalkan menjadi Sultan Sulu yang pertama setelah berkahwin dengan Puteri Raja Baguinda dari Minangkabau Sumatera yang datang ke Sulu sebelum itu. Sulu semamangnya mempunyai Raja-raja Hindu-Buddha yang berdaulat dari kalangan kaum Buranun sebelum ini tetapi setelah kedatangan Islam takhta diserah kepada Sayyid Ahlul-Bait itu. PengIslaman dan pertukaran takhta berlaku secara aman tanpa pertumpahan darah.
  • Pada 1500-an Spanyol mula melancarkan penjajahannya dengan menyerang Sulu serta wilayah naungannya. Wilayah naungan Sulu dari atas Pulau Palawan hingga ke Layte, Panay, Cebu, Butuan yang berhampiran Pulau Visaya dan Samar De Oro berjaya dikuasai Spanyol. Spanyol berkali-kali menyerang Sulu tetapi gagal kerana mendapat tentangan hebat dari kaum Tausug yang dibantu oleh saudara-saudara mereka kaum Bajau Laut, kaum Iranun dan Tidung.
  • Yang menarik, orang-orang Brunei turut berada di Jolo membantu Tausug dalam beberapa babak peperangan dengan Spanyol. Sehingga abad ke-19 Spanyol masih tidak berjaya menakluk Sulu sehingga kedatangan Amerika Syarikat pada 1889. Ketika berlangsung peperangan yang terakhir antara Sulu dengan Spanyol pada penghujung abad ke-19, Sultan Sulu telah memajakkan Borneo Utara kepada wakil Kompani British bernama Baron Gustave Von Overbeck.
  • Kaum Sulu mula bertindak menyerang pedagang laut Spanyol dan menyerang memusnahkan wilayah naungannya dengan menangkap beribu-ribu kaum Ayta atau Dayak dan menjual mereka di merata tempat termasuk Borneo.
  • Pada tahun antara 1889 hingga 1900, Datu Paduka Mat Salleh menentang memerangi British di Borneo Utara yang membawa kepada kematiannya. Syarif Osman dan para Pangeran Brunei memerangi Kompani British. Pada tahun 1900-an hingga 1930-an pembunuhan beramai-ramai terhadap kaum Sulu di Jolo telah dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat namun serangan gerila kaum tausug masih berterusan. Keadaan huru-hara ini menyebabkan kaum Tausug dan Bajau ramai yang meninggalkan Jolo menuju ke Borneo Utara, Basilan, Siasi dan Tawi-Tawi.
  • Pada tahun 1963, North Borneo ditukar menjadi Sabah oleh Tun Datu Mustafa dan Parti-parti yang lain seterusnya membawa masuk Sabah ke Persekutuan Malaysia dengan 20 syarat yang kekal hingga ke hari ini.

Berikut adalah susunan sejarah kaum-kaum Mindanao secara ringkas:

Kaum Maguindanao adalah yang paling berkuasa di Mindanao diikuti oleh kaum Maranao. Kaum Iranun pula adalah yang paling berkuasa di laut Mindanao sebagai tentera laut Kesultanan Maguindanao.

Kaum Iranun adalah etnik-induk kepada Maguindanao dan Maranao kerana dari segi linguistik mereka adalah berasal dari satu kaum yang hampir. Menerima Islam secara keseluruhan pada 1515 M di tangan Sayyid Kabongsuan yang juga kerabat Kesultanan Johor-Lama.

Kesultanan Maguindanao mula menentang penjajahan Spanyol semenjak abad ke-16 lagi. Sultan Qudarat adalah yang paling terkenal kuat penentangannya melawan Spanyol.

Kesultanan Maguindanao, Sulu, Brunei, Bugis dan Ternate-Maluku malah Johor, Pahang, Terengganu dan Sambas mempunyai hubungan kekeluargaan. Walaupun kadang-kadang hubungan sesetengahnya tegang tetapi sesama mereka bertolong bantu dan bela membela atas dasar menganut Islam yang sama.

Kaum Iranun mula berkerjasama dengan Kesultanan Sulu menyerang Spanyol yang bermulanya kebebasan Iranun menjalankan ekspedisi mencari hamba bersama Balangingi pada awal abad ke-17. Kaum Tidung juga menyertai ekspedisi mencari hamba dari Sulu menyebabkan perhambaan menjadi lebih “meriah”.

Iranun dan Balangingi bersama menjalankan ekspedisi mencari hamba sampai ke Vietnam (Indochina) dan Burma. Ramai kaum asli (Momogun) dari sana mereka tangkap dan bawa ke Borneo Utara dijual kepada para Pangeran dan Datu. Iranun dan Balangingi juga turut menangkap kaum Bisaya dan kaum Ayta yang lain dari kepualauan Filipina lalu menjualnya ke Sulu, Borneo dan Makassar.

Kaum Iranun dan Bajau Balangingi membina penempatan di sekitar pantai barat dan timur Borneo Utara sebagai pangkalan ekspedisi mencari hamba mereka. Hingga hari ini penempatan Iranun di pantai barat Sabah masih banyak termasuk juga Bajau Balangingi. Penempatan Bajau Balangingi yang paling besar ialah di Kota Belud. Hingga hari ini mereka dikenali sebagai Bajau Kota Belud.

Hari ini yang memimpin politik Sabah kebanyakannya dari kalangan Iranun dan Bajau Balangingi setelah kejatuhan kepimpinan kaum Suluk yang ketika dulu gemilang bersama Tun Mustafa.

Kaum Melayu Momogun-Ayta

Dikatakan bahawa kaum yang paling besar di Sabah ialah kaum Momogun yang terdiri dari Kadazan-Dusun, Lotud, Tambunowa, Idaan, Sungei, Rungus, Murut, Bisaya dan beberapa sub-etnik dari kaum-kaum tersebut. Ahli linguistik mengaitkan kaum-kaum asli ini sebilangannya adalah satu keluarga. Kaum Murut contohnya dikatakan adalah dari suku Dayak Sarawak yang bergerak dari Kalimantan sebagai tempat asalnya. Murut adalah keluarga terdekat kaum Iban, Penan, Kayan, Punan, Kenyah dan lain-lain yang bertebaran yang bermula pada awal kurun ke-10 ke seluruh Borneo. Manakala kaum Bisaya pula adalah berasal dari Kepulauan Filipina, samada mereka dari kumpulan Hiligaynun, Surigaonun, atau dari kelompok mana-mana sub-etnik Ayta. Kebanyakan mereka dibawa ke Borneo oleh para ahli ekspedisi mencari hamba iaitu Iranun dan Balangingi serta Tidung untuk bekerja diladang atau kebun para Pangeran dan Datu di Borneo.


Sekiranya kita mengumpulkan data jumlah penduduk Sabah ketika ini, kemungkinan besar kaum Momogun bukanlah yang membentuk majoriti kaum di Sabah sekiranya dibandingkan dengan kaum dari Sulu-Mindanao seperti Suluk, Bajau dan Iranun. Kaum Bajau sendiri sebagaimana kaum Suluk adalah yang paling ramai menduduki kawasan sekitar pantai seluruh Sabah. Dari Tawau hingga ke Kudat sampailah ke Teluk Kimanis adalah majoriti Suluk dan Bajau, itu belum termasuk Iranun. Berikut adalah beberapa kenyataan tentang Momogun:

  • Berasal dari Kalimantan, Vietnam, Burma dan Kepulauan Filipina. Mereka dikenali sebagai kaum asli sejak sebelum penghijrahan mereka ke Borneo Utara. Pekerjaan merek ialah bercucuk tanam atau berkebun dengan mengamalkan pertanian pindah.
  • Migrasi atau perpindahan mereka ke Borneo Utara adalah dalam dua keadaan iaitu Migrasi Sukarela (datang dari Kalimantan sejak dahulu kala) dan Migrasi Paksa (datang dari luar Pulau Borneo yang dibawa oleh ekspedisi Iranun, Balangingi dan Tidung).
  • Kaum-kaum Momogun sejak zaman dulu suka berumah ditengah hutan belantara kerana mengelak dari ekspedisi Iranun, Bajau Balangingi dan Tidung hingga hari ini. Kerana ketika dulu, ekspedisi mencari hamba belayar di tepi pantai pantang ternampak asap dari hutan berdekatan terus sahaja mengepungnya dan menangkap mereka untuk dijual ke daerah lain.
  • Mereka mengamalkan kepercayaan animisme dan amalan-amalan pagan yang lain sebagai identiti. Budaya mereka bukan budaya perang sebab itu berusaha mengelak pertembungan dengan kaum lain dan mereka senantiasa berpindah randah.
  • Berbanding Murut yang kehidupannya banyak dipengaruhi oleh budaya perang Dayak Kalimantan yang pakar berburu, Momogun lainnya lebih suka mengekalkan keamanan.
  • Untuk membezakan kaum Dayak dan kaum lain ialah berpandukan pakaiannya. Kaum dayak biasanya rambut dipotong seperti tempurung. Senantiasa membawa tombak dan parang panjang (seperti parang Iban) di pinggang atau pun sumpit. Tidak memakai baju cuma menutup bahagian sulit dengan kulit kayu atau kain dililit panjang yang sebahagiannya dibiar berjuntai ke bawah.
  • Kadazan-Dusun pula sama dengan kaum Lotud dan Rungus serta etnik-etnik lain yang pakaiannya berwarna-warni penuh manik dan perhiasan. Mereka sama dengan etnik-induk mereka dari Yunnan, Indochina atau Vietnam.
  • Kaum Sungei dan Idaan dikatakan adalah satu keluarga, mereka seperti lebih hampir dengan kaum Dayak di Kalimantan. Keluarga terdekatnya ialah kaum Tidung sendiri. Sedangkan Tidung dikatakan adalah berasal dari suku kaum Kayan dari Kalimantan yang tentunya tergolong dari keluarga Dayak.
  • Kaum Sungei mengikut kajian telah lama berada di Borneo Utara sejak kurun ke-7 lagi. Mengikut tradisi lisan asal keturunan mereka adalah dari keluarga Maharaja China yang datang ke Borneo Utara yang lokasinya di Sungei Kinabatangan (Cina-batangan).
  • Mengikut beberapa kajian, kaum Sungei sebenarnya adalah berasal dari kaum Idaan sendiri. Mendapat nama Sungei setelah orang Inggeris datang meneroka Sungai Kinabatangan dan tiba-tiba terlihat satu kaum ditepi Sungai (berpakaian seperti kaum Dayak) maka dinamakan kaum tersebut sebagai Orang Sungai.
  • Kaum Sungei, Idaan dan Tidung sangat rapat hubungannya dengan kaum Suluk semenjak era Kesultanan Sulu lagi sehingga kini. Oleh kerana terlalu rapat hubungannya maka ramai dari suku kaum ini memeluk Islam dan hidup bersama dengan kaum Suluk dari muara-muara sungai dan di kampung-kampung terpencil di sekitar Sungai Kinabatangan sehingga ke Sungai Sugut.
  • Hari ini kaum-kaum asli atau Momogun atau pun Ayta Dayak menjadi kebanggaan rakyat Sabah kerana punya budaya unik dan berwarna-warni serta sikap mereka yang lemah lembut.

Kaum Melayu Indonesia

Kaum Indonesia yang berada di Borneo Utara yang paling awal ialah kaum Tidung yang berasal dari sekitar Tarakan Kalimantan kemudian diikuti oleh kaum Bugis dari Sulawesi dan Banjar dari Kalimantan. Sebagaimana kaum Sulu begitu jugalah bentuk kehidupan kaum Tidung dan Bugis ini. Keduanya punya sejarah peperangan yang panjang merentas lautan. Kaum Bugis di Sabah terbahagi beberapa etnik seperti Penrang, Bone, Makassar, Tator dan beberapa etnik lagi. Kaum Tidung telah muncul kerajaannya pada kurun ke-11 sedangkan kerajaan-kerajaan Bugis telah muncul kemudiannya. Kesultanan Bugis dan perjuangannya menentang Belanda adalah yang masih dikenang oleh bangsa Indonesia seperti juga sejarah kegemilangan Acheh dan sebagainya.


PENUTUP

Peribumi Sabah akhirnya difahami sebagai kaum yang menduduki Borneo Utara sejak berabad-abad lamanya sehingga kemerdekaannya dengan menyertai Persekutuan Malaysia 1963. Tidak kiralah mereka itu datang dari mana asalkan yang datang itu telah menjadi sebahagian dari sejarah Borneo Utara sebelum merdeka lagi hingga kini. Apa yang lebih penting ialah setiap kaum dan keturunan mengerti akan peranan masing-masing sebagai warga Sabah yang senantiasa mengekalkan keamanan dan kestabilan. Sentimen perkauman sekiranya dilayan dan dikipas-kipas sudah tentu lebih banyak mengundang keburukan berbanding kebaikan. Kerana, setiap pergolakan pasti akan dirujuk kepada sejarah. Itulah rujukan yang paling ampuh sebagai cermin diri kepada sentimen perkauman.


Dari semua keterangan di atas, terbukti kaum Suluk adalah antara kaum peribumi asal Borneo Utara. Samada Suluk itu dikatakan berasal dari Sulu atau pun yang menduduki Borneo Utara semenjak abad ke-7 lagi, mereka tetap sebahagian peribumi Borneo Utara. Ini kerana sejak sekian lama kaum Suluk dari Sulu tidak dapat dipisahkan dengan bumi tersebut atas dasar faktor sejarah sekali pun ketuanan mereka tidak lagi diterima ketika ini. Semua individu Suluk yang ada di Kepulauan Sulu hari ini sejak dahulu kala lagi masing-masing mempunyai keluarga di Borneo Utara. Ada yang nenek moyang mereka setelah dilahirkan di Borneo, berhijrah pula ke Sulu dan demikian pula sebaliknya, ada yang nenek moyang mereka dilahirkan di Sulu kemudian datang berhijrah ke Borneo yang masih ada sampai hari ini. Hingga hari ini pun, penjenamaan tempat-tempat di Sabah banyak yang datangnya dari bahasa-bahasa Sulu. Hatta nama Sabah itu adalah datangnya dari bahasa Suluk sendiri, yang merujuk kepada sejenis pokok pisang yang orang-orang Sulu namakan “saing Sabba” atau pun “pisang Sabba”.


Sejak sekian lama kaum Sulu menjadi tuan kepada Borneo Utara lantaran mereka mampu menjadi pembela kepada kaum-kaum lain. Kebangkitan mereka menjadi inspirasi kepada perjuangan membela bangsa dan tanah air sesiapa sahaja hingga kini.


Hari ini, terlalu ramai suara-suara sumbang yang tidak berpijak dibumi nyata. Kaum Suluk dilabel sebagai “bukan peribumi” dan desakan untuk menghantar mereka kembali ke Sulu tidak pernah lekang dari ucapan-ucapan mereka. Seolah-olahnya kaum Suluk adalah warga Filipina yang tidak layak duduk di negeri Sabah. Ini kerana semua warga Suluk dicap sebagai PTI walau pun nenek moyang mereka telah lama di Sabah semenjak nama asal Borneo Utara lagi. Selain PTI, pelarian perang 1972 dari Sulu juga turut menerima nasib yang sama sebagai yang tidak layak dibela, walau pun mendapat hak dan pengiktirafan dari PBB atau UNHCR Amnesty turut juga dikecam hingga mereka teraniaya. Kerajaan pusat didesak supaya “Orang Malaya” sahaja yang memelihara para pelarian perang 1972 Filipina itu, bawa mereka ke Semenanjung Malaysia kerana hanya “Orang Malaya” sahaja yang mahu sedangkan “Sabahan” tidak mahu menerima pelarian ini. Dakwaan bahawa IMM13 adalah produk Semenanjung, sebab itu dikatakan Semenanjung Malaysia yang bertanggungjawab bukannya Sabah.


PTI dengan Pelarian Perang ada perbezaan. PTI (Pendatang Tanpa Izin) adalah datang secara ilegal tanpa Pas Perjalanan Sah untuk masuk kemana-mana negara berdaulat seperti Malaysia dengan tujuan mencari pendapatan atau penghidupan yang lebih baik. Manakala Pelarian Perang (Selamatkan diri dari peperangan) adalah masuk kemana-mana negara berdaulat kerana terdesak selamatkan diri dari terbunuh. Dalam konteks Pelarian di Sabah, mereka diberi IMM13 oleh Jabatan Imegresyen Malaysia (kerjasama UNHCR) sebagai tanda mereka Pelarian Perang Filipina semenjak 1972.


Kekeliruan rakyat tempatan Sabah terhadap orang-orang Suluk yang masih berniaga di sekitar KK, Sandakan dan ditempat-tempat lain yang mereka ingat adalah PTI adalah salah sangka belaka. Kerana sebelum merdeka lagi kaum Suluk sudah memang membanjiri sekitar Sabah malah ketika Sabah bergelar North-Borneo lagi mereka telah ada sebagai kuasa dominan. Generasi muda Sabah hari ini perlu belajar sejarah kewujudan bangsa mereka di Sabah sebagai motivasi kearah kamanan dan kestabilan. Kejahilan tentang sejarah akan menyebabkan salah faham yang sudah tentu akan menjadi bibit perpecahan sesama kaum di masa-masa akan datang. Sebenarnya ia satu kebimbangan yang mempunyai asas.


Kesalah fahaman atau kekeliruan boleh diperbetulkan dengan pendidikan. Kekeliruan terhadap kaum Sulu di Sabah dengan melabel mereka dengan PTI kesemuanya perlu diperbetulkan. Contohnya, seperti orang luar datang ke Kelantan, akan keliru mengenal antara warga Melayu Kelantan (Malaysia) dan Warga Melayu Pattani (Thailand) disebabkan menutur slanga Melayu/Jawi yang hampir sama, yang membezakan ialah Passport Thai nya atau MYkadnya. Ini juga berlaku kepada warga Suluk di Sabah yang terbahagi empat:


1-Warga Sulu Sabah (MYkad-ini biasanya nenek moyangnya telah ada di Sabah sebelum Merdeka),

2-Warga Sulu Pelarian (IMM13),

3-Warga Sulu PTI (Tanpa status samada Filipina atau Malaysia-ini biasanya Mujahidin MNLF, MILF, Abu Sayyaf atau atas pagar),

4-Warga Sulu Filipina (Punya Passport Filipina).


"Membungkus" mereka semua dengan istilah PTI adalah satu kesilapan. Kalau sudah diketahui tapi masih pura-pura tidak tahu maka ini adalah satu perkara yang amat malang. Perlulah diperjelaskan bahawa, tuduhan-tuduhan terhadap kaum Suluk samada dari Sulu atau pun yang telah menjadi warga Sabah sebagai penjenayah atau perampas Sabah, justeru mereka tidak layak duduk di bumi Sabah adalah satu tuduhan tanpa pertimbangan. Tuduhan kepada kaum Sulu sebagai “perampas Sabah” ternyata adalah satu kejahilan. Satu tuduhan yang tidak berasas kerana tidak didasarkan kepada fakta sejarah. Kepada perlakuan jenayah, itu sebenarnya tidaklah mengira kaum dan keturunan siapa sahaja. Sebab itu hal penangkapan dan menghukum kepada segala pesalah jenayah perlulah disokong demi persekitaran yang aman dan terjamin di bumi Malaysia ini. Kerana hukuman terhadap penjenayah tetap dilakukan tanpa mengira PTI atau warganegara.


Penyusun: Asreemoro

Tajuk: Kaum Suluk Sebagai Peribumi Sabah : Isu Melayu & Sejarah Migrasi Borneo.

Penterjemah bahan Inggeris: Neldy Jolo

Pembantu semakan bahan: Abdelnajir Yasin

Hakcipta terpelihara © Julasri Hajad dan Asreemoro Studio & Enterprise 2008.

Rabu, 2008 November 19

Grafik Peribadi

Mari Belajar Bahasa Suluk 3


Belajar Bahasa Suluk Melalui Sajak
Tajuk: Tausug Bugaan?
Karya asal dan alih bahasa: Asreemoro









Tausug bugaan?
Tausug penakut?

Hisiyu in namantug maisug in Tausug?
Siapa yang memuji yang Tausug berani?

Way bukti' in Tausug maisug
Tiada bukti pun Tausug berani

In sila yan bangsa bugaan tuud
Mereka adalah bangsa yang amat penakut

Maisug sabab kabiyaksahan na nabantug?
Berani sebab telah biasa dipuji?

Bahasa in sila landu' in pagkausug?
Dikatakan merekalah yang terlalu kebal?



Tausug yan bunnal bugaan landu'
Tausug sebenarnya terlalu penakut

Mabuga' mabi'as hangkan mamunu'
Takut jatuh air muka lantaran membunuh

Mabuga' madayyus hangkan umatu sibu'
Takut jadi dayus lantaran melawan musuh

Mabuga' kaagawan hula' hangkan mamatay satru'
Takut negaranya dirampas lantaran melawan seteru

Mabuga' makafir hangkan magsabil hilugtu'
Takut jadi kafir lantaran keras berperang sabil

Mabuga' kaunahan hangkan muna mamunu'
Takut didahului lantaran menyerang membunuh dahulu



Tausug bugaan magbarung maglubak
Tausug penakut berlawan barung

Kalna' bang maglagut hitapuk in lima hansipak
Kerana ketika menetak tangan sebelah disorok ke belakang

Mautud in tu'u kawa'un sin lawa hipanipak
Terputus yang kanan, kiri pula mengambil alih menetak

Mabuga' maraug misan dum adlaw maghantak
Penakut dikalahkan lantaran berlawan dari siang ke malam

Way pagtangis misan in dugu' naubus na pakpak
Tiada tangis walau darah telah habis menitis

Umatubang tuud salagi' in kamatay way dimagpak
Melawan sungguh selagi kematian belum tiba



Tausug yan mabuga' yanun bugaan...
Tausug sangat takut digelar penakut...

Hangkan way pag "cover" ha pagbunu'an
Lantaran tidak perlukan pelindung ketika peperangan

Hangkan umatu tuud misan way kaatuhan
Lantaran melawan sungguh walau tiada kemampuan

Hangkan nag hahabay bat di' ukun in kaibanan
Lantaran sebilangannya memakai tangkal sebagai kebal

Hangkan mangdayu siya muna di' kaunahan
Lantaran menyerang dulu sebelum diserang

Misan kiyada'ganan imiyan pa "mattay sakan"
Walau dah dihempap masih mampu mengatakan "mampus kau...rasakan"



Tausug yan mabuga' mapatay...
Tausug sebenarnya takut mati...

Bang mabunu' sadja di' makabaus mamatay
Kalau terbunuh sahaja tanpa sempat menuntut bela

Bang mapatay sadja di' makatabang bagay
Kalau mati begitu sahaja tanpa dapat membela sahabat

Bang mawapat na sadja halaum kadayyusan
Kalau wafat sia-sia dalam keadaan dayus

Bang natiwas na sadja way katablahan
Kalau tertewas sahaja tanpa mendapat seri (sama-sama terbunuh dengan musuh)

Bang makawa' bukun ha pagparrang sabilan
Kalau ditarik nyawa bukan dalam peperangan sabil

Bang mui' hukum sadja ha bukun halaum iman
Kalau pulang kembali pada-Nya bukan dalam iman

Kiyabukti'an tuud in Tausug asal bugaan!
Telah dibuktikan sesungguhnya Tausug memang penakut!


Selasa, 2008 November 18

Mari Belajar Bahasa Suluk 2


Belajar Bahasa Suluk Melalui Sajak
Tajuk: Tausug, Tindug Kaw!
Karya asal dan alih bahasa: Asreemoro









Tausug, tindug kaw!
Tausug, bingkaslah!

Hisiyu in nagiyan in ikaw miyatayna?
Siapa yang mangatakan engkau sudah mati?

Hisiyu in nag bayta' in ikaw nalawa' na?
Siapa yang beritahu yang engkau telah hilang?

Sila in imiyan atawa baran mu?
Mereka yang mengatakannya atau engkau sendiri?

Sayu kaw Tausug!
Sedarlah Tausug!




In tagna' laung nila in Tausug maisug?
Dahulu mereka kata Tausug pemberani?

Kitaa in baran mu bihaun,
Lihatlah diri mu sekarang,

Yanda kaw timitindug?
Engkau masih berdiri?

Ha tindugan qudrat mu?
Berdiri dengan qudrat mu?

Nanama in jasad wujud mu,
Rasakan jasad wujud mu,

Kubbut sin ugat isug mu,
Gerak urat nadi keberanian mu,

In pali' dahun guyurun?
Dengan luka berdarah masih sanggup mengheret?

Tablahan in satru' apasun,
Mengejar seteru untuk mati bersama,

Dugu' pula mapasu' suliyab laga niya,
Darah merah panas menyala-nyala,

Mujahid tannyag katilingkal dunya!
Mujahid terkenal seluruh dunia,

Bihaun aun pa?
Sekarang masihkah ada?




Tausug ingat kaw!
Tausug ingatlah engkau!

In ikaw buhi' pa, in mata mu bulata,
Engkau masih hidup, celikkan mata mu,

In bangsa mu maisug wujud pa,
Bangsa mu pemberani masihlah wujud,

Aun hula' mu lawaga,
Engkau ada negara asal carilah,

Piyag agawan sin dunya,
Menjadi rebutan dunia,

Sabab dayahan way salian hangkan pissuku' nila,
Sebab ia terlalu kaya lantaran digenggam oleh mereka,

Dain ha Kastila, Melikan, Jipun pa Filipina,
Dari Kastila, Amerika, Jepun hingga Filipina,

Way ra marapat nila, in ikaw imaatu ra!
Mereka tidak mendapat apa-apa, malah engkau masih melawan,

Hangkan tindug kaw lawaga,
Sebab itu engkau bingkaslah mencarinya,

Yan in puunan niya ha Sultaniyah.
Permulaannya ada pada Sultaniyah.





Tausug, Pag tibukkul kamu,
Tausug, berpadulah kamu,

Hambuuk payung iban taymanghud mu,
Bersatu payung dengan saudara mu,

Samal Badjao, Yakan pa manga kaibanan,
Sama Bajau, Yakan dan selainnya,

Sabab kamu in sisilungan,
Sebab kamu adalah tempat bernaung,

Mangindarahi sin dungan,
Yang mengemudi hala tuju,

Nakura' pa jauragan ha pag bubunu'an,
Nakhoda ke juragan dalam peperangan,

Hambuuk-buuk Allah in Tuhan,
Allah satu-satunya Tuhan,

Nabi Muhammad, syafaat niya kalagihan,
Nabi Muhammad, syafaatnya diperlukan,

Agarun in daakan layuun in liyangan,
Berbuat suruhan, menjauhi larangan,

InsyaAllah mangdaug da kamu,
InsyaAllah kamu tetap mendapat kemenangan,

Mahaldika' atawa Syahid in tudjuhan.
Samada Merdeka atau Syahid sebagai kesudahan.


Kuala Lumpur, Malaysia.
01:21 am, Sabtu, 15 Nov. 2008,
17 Zulkaeda 1429.

Isnin, 2008 November 17

Mari Belajar Bahasa Suluk 1

Bahasa Suluk Atau Bahasa Tausug (Sinug)

Atas permintaan dan desakan beberapa pihak termasuk sahabat-sahabat kami, mereka minta tunjuk ajar bagaimana caranya agar dapat bertutur dalam Bahasa Suluk secara mudah. Memandangkan kami sendiri bukanlah pakar dalam Bahasa Suluk maka segala tunjuk ajar atau kaedah yang kami tunjukkan di sini adalah berdasarkan kreativiti dan inisiatif kami sendiri. Bahasa Suluk yang kami paparkan disini adalah bahasa kebiasaan yang kami tutur sehari-hari di rumah. Pendek kata ia adalah "mother tounge" kami sendiri.

Menunggu ahli Bahasa Suluk datang untuk memberi tunjuk ajar sedangkan kami sendiri tidak mengetahui dimana mereka berada, sangatlah sukar mendapatkannya. Apa yang perlu kami beritahu disini ialah Bahasa Suluk itu sendiri hingga kini tiada "standard" yang boleh dipegang sebagai bahasa autentik kepada kaum Tausug. Yang pasti, Bahasa Suluk berkembang dari masa kesemasa sebagaimana bahasa Melayu juga yang telah disusupi oleh pelbagai bahasa asing mengikut keperluan peredaran zamannya.

Kaedah atau teknik belajar Bahasa Suluk atau Bahasa Tausug (Sinug) perlulah bermula dengan menghafal istilah atau perkataan mudah terlebih dahulu. Kemudian barulah belajar untuk menyusun ayat tertentu. Untuk permulaan, berikut kami paparkan sebutan atau istilah yang ada persamaannya dengan Bahasa Melayu sendiri untuk memudahkan hafalan pembaca. Perlulah difahami, Bahasa Suluk adalah juga dari Bahasa Melayu yang kebanyakan sebutannya boleh difahami dengan mudah.

Kesamaan Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Suluk (BS) serta sebahagian pengertiannya:-
  1. Kampung = Kampung
  2. Titian = Taytayan (Titian atau jambatan kecil)
  3. Laut = Laud (Laut air masin)
  4. Pukat = Pukut
  5. Ikat = Hukut
  6. Batu = Batu
  7. Pasir = Pasil
  8. Bumbung = Bubung
  9. Dinding = Dingding
  10. Tampan = Tampan (Membawa maksud penghadang)
  11. Sepit = Sipit (Tersepit atau penyepit)
  12. Kayu = Kahuy (Kayu dari pokok)
  13. Nyiur = Niyug (Pokok Kelapa)
  14. Bukit = Bukid (Kawasan tanah tinggi)
  15. Batang = Batang (Batang kayu)
  16. Belenggu = Bilanggu' (Pengikat atau tali besi)
  17. Huma = Umah (Huma tempat bercucuk tanam)
  18. Kapal = Kappal
  19. Lancang = Lansa (Sejenis kapal laut)
  20. Hujan = Ulan
  21. Badan = Baran
  22. Bencana = Binsana' (Membawa makna kesengsaraan)
  23. Bunuh = Bunu' (Menamatkan riwayat orang lain)
  24. Perang = Parrang (Bertumpah darah)
  25. Angin = Hangin
  26. Alun = Alun (Merujuk kepada alunan ombak)
  27. Fikir = Pikil
  28. Pandai = Pandai (Merujuk kepada kebijaksanaan yang terhormat)
  29. Pendekar = Pandikal
  30. Keris = Kalis
  31. Pedang =Puddang
  32. Sanggah = Sangga (Menepis perbuatan yang salah, juga merujuk kepada serangan yang ditepis dengan tangan)
  33. Bantah = Bantah (Membawa maksud bersengketa)
  34. Sambut = Sambut
  35. Cepat = Sapat
  36. Laju = Ladju
  37. Sumpah = Sapah
  38. Atau = Atawa
  39. Sakit = Sakit
  40. Mata = Mata
  41. Hidung = Ilung
  42. Lidah = Dila'
  43. Telinga = Tainga
  44. Dagu = Taku'
  45. Siku = Siku
  46. Betis = Bitis
  47. Kuku = Kukku
  48. Jantung = Jantung
  49. Hati = Atay
  50. Seteru = Satru'
  51. Serampang = Sapang (Sejenis tombak bermata tiga untuk menombak/menangkap ikan)
  52. Bulu = Bulbul (Merujuk kepada mana-mana bulu pada anggota)
  53. Biru = Bilu
  54. Kuning = Biyaning
  55. Hitam = Itum
  56. Panji = Panji
  57. Bendera = Bandira
  58. Berat = Buggat
  59. Sedap = Sarap
  60. Bisa = Bisa (Merujuk kepada kesakitan)
  61. Lapah = Lapah (Merujuk kepada menebas rumput)
  62. Bicara = Bissara
  63. Kata-kata = Kata-kata (Merujuk kepada kata-kata pujangga atau bunga-bunga bahasa)
  64. Anak = Anak
  65. Kucing = Kuting
  66. Peha = Pa'a (Merujuk kepada anggota atas lutut)
  67. Hadapan = Harapan (Merujuk kepada alat sulit yang berada di hadapan)
  68. Ratu = Datu (Gelaran kerabat diraja)
  69. Nakhoda = Nakura' (Merujuk kepada ketua kumpulan)
  70. Perahu = Pala'o (Merujuk kepada kaum Bajau Laut yang sentiasa berada di lautan dengan menaiki perahu)
  71. Terbang = Talbang
  72. Buka = Ukab
  73. Jamu = Jamu (Menjamu makanan)
  74. Indah = Inda' (Cantik, merujuk kepada wanita cantik atau penghargaan kepada wanita)
  75. Bujang = Budjang (Anak dara, merujuk kepada kaum wanita yang belum berkahwin)
  76. Pagar = Pagal
  77. Jerat = Jallat
  78. Adat = Addat
  79. Ampun = Ampun
  80. Tuan = Tuan
  81. Benar = Bunnal
  82. Tongkat = Tungkud
  83. Buruk = Buruk (Merujuk kepada kepala seseorang yang dipenuhi kudis)
  84. Baca = Bassa
  85. Pulih = Uli'
  86. Terompah = Taumpa'
  87. Bonggol = Buggul
  88. Cabul = Sabul
  89. Sesat = Sasat
  90. Balik = Balik (Kembali)
  91. Masa = Masa
  92. Susah = Susah
  93. Senang = Sannang
  94. Sukar = Sukkal
  95. Sempit = Sigpit
  96. Cirit = Igit (Cirit-birit)
  97. Jemu = Sumu
  98. Tepuk = Tuppak
  99. Sepak = Sipa'
  100. Insang = Asang (Atau merujuk kepada nafas mulut)
  101. Tumbuk = Suntuk
  102. Tanduk = Tanduk
  103. Urat = Ugat
  104. Urut = Hilut
  105. Jarang = Lahang
  106. Ludah = Lura'
  107. Kertas = Katas
  108. Lukis = Gukis
  109. Surat = Sulat
  110. Bunga = Bunga (Membawa maksud putik buah atau buah-buahan)
  111. Bau = Bahu' (Bau wangi/busuk)
  112. Tikar = Tikal
  113. Pinggan = Pinggan
  114. Pasu = Basu (Merujuk kepada cawan diguna untuk minum)
  115. Sauh = Sau (Sauh kapal)
  116. Lemah = Lammah
  117. Kufu = Supu (BM: Sekufu/Setara. BS: Mewarisi sifat sama dari ayah atau keluarga teratas)
  118. Sapi = Sapi'
  119. Minum = Minum
  120. Kilat = Kilat (Bermaksud petir)
  121. Rimba = Gimbah
  122. Kaca = Kassa'
  123. Cara = Sara' (Juga merujuk kepada hukum Syarak)
  124. Bisu = Bisu (Bermaksud pekak)
  125. Payung = Payung
  126. Ubat= Ubat
  127. Sebut = Sabbut
  128. Jilat = Dilat
  129. Cium = Sium
  130. Padi = Pai
  131. Beras = Bugas
  132. Upih = Hupi'
  133. Durian = Duyan
  134. Manggis = Manggis
  135. Bersambung..............
Nombor:
  • Satu = esa
  • Dua = Duwa
  • Tiga = Tu
  • Empat = Upat
  • Lima = Lima
  • Enam = Unum
  • Tujuh = Pitu
  • Lapan = Walu
  • Sembilan = Siyam
  • Sepuluh = Hangpu'
  • Sebelas = Hangpu' tag esa
  • Duabelas = Hangpu' tag duwa
  • Dua Puluh = Kaduwa'an (Sebut Kawha'an)
  • Dua puluh satu = Kaduwa'an tag esa
  • Tiga Puluh satu = Katu'an tag esa ( Sebut Katlu'an tag esa)
  • Empat puluh satu = Kaupatan tag esa (Sebut Kaapatan tag esa)
  • Seratus = Hanggatus
  • Dua ratus = Duwanggatus
  • Seribu = Hangibu
  • Sepuluh ribu = Hangpu'ngaibu (Sebutan lainnya Hangkalaksa')
  • Seterusnya......
Demikianlah.... kami sambung dilain waktu... insyaAllah